Kronologi Program Amalan 5S MSWP

Perancangan Amalan Persekitaran 5S bermula di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bermula dengan program ceramah pada 21 April 2009 oleh Pegawai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) kepada warga Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Pada 26 hingga 27 Ogos 2009, MSWP telah menganjurkan satu Kursus Pelaksanaan 5S yang disampaikan oleh Tuan Haji Awang Suhaili bin Ledi, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sarawak.

Pada 9 September 2009, Jawatankuasa Pemandu 5S telah ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Y.A.A Ketua Hakim Syarie MSWP. Pada 11 hingga 28 September 2009, Pertandingan Mencipta Logo dan Slogan Amalan 5S telah dilaksanakan di MSWP. Seorang pemenang berjaya di dalam pertandingan tersebut dan logo serta slogannya telah dipilih untuk menjayakan program Amalan 5S yang telah dianjurkan oleh MSWP. Pada 15 hingga 17 September 2009, Pra Audit Dalam 5S dilaksanakan oleh Jawatankuasa Audit Dalam 5S MSWP.

Majlis Pelancaran Amalan 5S telah dilaksanakan pada 9 Oktober 2009 dan dirasmikan oleh Y.A.A Tan Sri Ibrahim bin Lembut, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Pada 21 Disember 2009, Auditan Amalan 5S telah dijalankan oleh Tuan Haji Omar bin Othman, Juruaudit dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan hasil daripada auditan yang dijalankan, Juruaudit MPC telah berpuas hati dengan persekitaran di MSWP.

Dengan itu, pada 15 Januari 2010, satu Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Amalan 5S yang telah disampaikan Encik Mohd, Razali bin Hussain, Ketua Pengarah MPC kepada Y.A.A Tan Sri Ibrahim bin Lembut, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi pihak MSWP bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, MSWP Kuala Lumpur.