Aktiviti 2010


Siri Lawatan Amalan 5s Ke Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya (16/12/2010)
 
Oleh: Mohd Izzuwan bin Mohd Razali
Putrajaya, 16 Disember 2010 – Satu Siri Lawatan Amalan 5S Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kali ke-3, 2010 telah diadakan di Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya. Lawatan ini telah diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Y.A.A Datuk Haji Mohamad Bin Haji Abdullah dan diiringi oleh Ketua Pendaftar, Tuan Abdul Ghani Bin Kiflie beserta 25 orang Pegawai Sokongan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
          
Rombongan mahkamah bertolak ke Kementerian pada pukul 9.30 pagi dan disambut mesra oleh pihak Jawatankuasa Kerja 5S Perbendaharaan Malaysia yang diketuai oleh En. Shamsol Bin Hj. Ini selaku Penyelaras Jawatankuasa Kerja 5S Perbendaharaan Malaysia. Rombongan dikumpulkan di Bilik Mesyuarat Utama Seksyen Pentadbiran Am.
         
Satu taklimat telah disampaikan oleh En. Shamsol Bin Hj. Ini berkenaan Perlaksanaan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S Di Perbendaharaan Malaysia. Ahli rombongan didedahkan dengan pelbagai perlaksanaan yang telah dilakukan oleh AJK 5S Perbendaharaan Malaysia dan juga cabaran-cabaran serta langkah-langkah penyelesaian dalam melaksanakan 5S.
          
Sesi taklimat tersebut diselangi juga dengan sesi soal jawab. Antara perkara berbangkit adalah kakitangan yang tidak memberi kerjasama dalam melaksanakan Program 5S dan juga peranan Juru Audit Dalaman 5S. Setelah itu, sesi pertukaran cenderehati oleh pihak mahkamah dan pihak Kementerian dilangsungkan seterusnya rombongan Mahkamah dijamukan dengan jamuan minum pagi sebelum sesi lawatan ke unit-unit Jabatan di Kementerian tersebut.
           
Peserta lawatan telah dibawa melawat ke unit-unit Jabatan di Kementerian antaranya ialah ke Seksyen Pentadbiran Am, Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat dan Seksyen Dasar Saraan & Wang Awam II. Sepanjang lawatan peserta didedahkan dengan kaedah-kaedah Amalan 5S yang dijalankan di Kementerian ini. Antaranya ialah rekod pergerakan fail, penerbitan Buletin Inovasi, album bagi setiap zon dan sistem pergerakan pegawai yang menggunakan kaedah secara on-line, mereka juga memperkenalkan Bilik Operasi 5S/SSR Perbendaharaan Malaysia yang mana digunakan sebagai bilik gerakan melaksanakan tugasan khas berkaitan 5S/SSR dan program berkaitan inovasi.
          
Secara keseluruhan, lawatan ini banyak memberi idea-idea dan kreativiti yang boleh diserapkan ke dalam Program Amalan 5S di MSWP yang mana dapat dilaksanakan oleh warga kerja MSWP bagi penambahbaikan.
Sebelum mengakhiri lawatan, ahli rombongan dihidangi dengan jamuan makan tengah hari. Selepas itu, satu sesi bergambar telah diadakan di Pintu Hadapan Kementerian Kewangan Malaysia sebagai sesi terakhir rombongan MSWP ke Kementerian tersebut. Majlis berakhir lebih kurang jam 1.00 petang.





Ceramah Amalan 5S oleh MAMPU (20/8/2010)

oleh: Nor Aliza bt. Ali
   
Kuala Lumpur, 20 Ogos 2010 – Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan(MSWP)  telah menjemput wakil dari pihak MAMPU iaitu Encik Hamzah bin Abdullah, Timbalan Pengarah, Bahagian Inspektorat dan Pengiktirafan, MAMPU untuk menyampaikan ceramah yang berkaitan dengan Amalan 5S. Ia adalah bertujuan untuk meningkatkan pemahaman seluruh warga MSWP bagi memahami konsep sebenar amalan 5S serta memperkemaskan lagi persekitaran di jabatan ini.
         
Penceramah tersebut banyak memberi penekanan terhadap sistem pemfailan di mana jika wujudnya sistem fail yang tersusun dan sistematik, maka proses kerja akan menjadi lebih pantas dan efisyen. Di samping itu, penceramah juga menerangkan lebih lanjut berkenaan definisi 5S (SisihSusun , Sapu,Seragam dan Sentiasa Amal) dan beliau menyatakan bahawa amalan tersebut telah sebati bagi kehidupan rakyat di Jepun dan mereka telah lama menjadikan amalan 5S tersebut sebahagian daripada rutin di dalam kehidupan setiap hari.
         
Program ceramah tersebut diakhiri dengan pemberian cenderahati yang telah disampaikan oleh Y.A.A Datuk Haji Mohamad bin Haji Abdullah kepada Encik Hamzah bin Abdullah.



Majlis Penyampaian Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S MSWP Labuan (30/7/2010)
Oleh : Fuadhasan Adisuryo B Achmad Rofiie
WP Labuan, 30 Julai 2010 - Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S bertempat di Dewan Persidangan Mahkamah Syariah WP Labuan setelah melalui sesi audit yang telah dijalankan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada 20 April 2010 yang lalu dengan jayanya.

Antara yang hadir pada majlis ini adalah Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Y.A.A Tan Sri Ibrahim Lembut, Ketua Hakim Syarie MSWP Y.A.A Datuk Hj. Mohamad Bin Hj. Abdullah, Pengarah MPC (Cawangan Sabah) iaitu Tuan Haji Mohd Zaki Bin Ibrahim, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan iaitu Tuan Ibrahim Bin Deris serta Ketua - Ketua Jabatan serta wakil - wakil dari jabatan - jabatan sekitar Pulau Labuan. Turut hadir ialah Y.A Tuan Hj. Nassir Bin Abdul Aziz, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah WP Labuan.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan doa yang telah disempurnakan oleh En. Samsu Bahrun bin Kandoi. Seterusnya Y.A.A Datuk Hj. Mohamad bin Hj. Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Amalan Persekitaran Berkualiti 5S telah memberikan kata - kata aluan diikuti dengan ucapan Pengarah MPC Cawangan Sabah. Berkata pada majlis tersebut, Tuan Haji Mohd Zaki Bin Ibrahim mengucapkan tahniah kepada seluruh Warga Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di atas pengiktirafan yang telah dicapai oleh jabatan ini dalam melaksanakan budaya 5S.
Di majlis itu juga, pihak urusetia telah memberi pengiktirafan kepada zon terbaik di antara 5 zon yang telah bertanding bagi merebut Anugerah Zon Terbaik 5S bagi sesi pertama ini. Zon Locus Standi telah dipilih untuk menerima Anugerah Zon Terbaik pada kali ini mengalahkan 4 Zon yang lain.

Setelah selesai majlis, para tetamu yang hadir dibawa untuk melawat Zon Locus Standi yang telah memenangi Anugerah Zon Terbaik.



Lawatan Kerja Sambil Belajar (Program 5S) ke MBSA, Selangor (22/7/2010)

Oleh : Musyrifah bt. Musa
Shah Alam, 22 Julai 2010 - Satu lawatan Siri Amalan 5S Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kali ke-2, 2010 telah diadakan di Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor (MBSA). Lawatan telah diketuai oleh Yang Arif Tuan Haji Abu Zaky bin Mohamed, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan dan diiringi oleh dua Pegawai Kanan Syariah serta 25 orang Pegawai Sokongan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
        
Rombongan MSWP bertolak ke MBSA pada pukul 1:30 petang dan di sambut mesra oleh pihak Urusetia Bahagian Kualiti Majlis yang diketuai oleh Puan Wan Soraya bin Sahabaluddin. Rombongan dikumpulkan di Dewan Persidangan MBSA di Jabatan Korporat dan satu taklimat telah disampaikan oleh Puan Wan Soraya. Rombongan didedahkan dengan pelbagai perancangan dan aktiviti yang telah dan bakal dijalankan di MBSA. Setelah itu, sesi soal jawab dan pemberian cenderahati kepada rombongan MSWP diadakan seterusnya rombongan Mahkamah di jamukan dengan hidangan minum petang.
        
Kemudian, peserta lawatan dibawa melawat ke Jabatan terbaik di MBSA iaitu di Jabatan Pembangunan MBSA. Peserta lawatan didedahkan kepada teknik-teknik baru seperti System C-kers yang telah diinovasikan oleh warga kerja MBSA memberi impak dan kesan kepada peserta lawatan. Selain itu, banyak input-input yang bernas dapat dicambahkan bagi meningkatkan prestasi Program Amalan 5S di MSWP. Lawatan kerja sambil belajar ini juga mampu memberi idea-idea kreatif kepada pegawai MSWP selanjutnya dapat di aplikasikan di Mahkamah.
        
Kesediaan dan keterbukaan warga kerja MBSA dalam memberi idea dan tunjuk ajar kepada rombongan Mahkamah amat di hargai. Sokongan padu yang berterusan daripada Ketua Jabatan merupakan pemangkin dan kunci kejayaan kepada pihak Majlis dalam mendapatkan Pensijilan Amalan 5S yang kini telah mencapai usia satu dekad. Juga tidak dinafikan kejayaan ini diperolehi daripada kerjasama warga kerja Majlis yang sangat komited dalam menjalankan program Amalan 5S.
        
Semoga semangat bekerja yang di tonjolkan oleh warga kerja MBSA dapat diterapkan pada setiap individu warga kerja Mahkamah dan kejayaan ini menjadi inspirasi agar MSWP dapat melahirkan satu pencapaian yang cemerlang dan terbilang sehingga menjadi contoh dan ikutan kepada jabatan yang lain.
        
Satu sesi bergambar telah diadakan sebagai sesi terakhir rombongan MSWP ke MBSA. Majlis berakhir lebih kurang jam 5 petang.
       



Majlis Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) MSWP Putrajaya (16/7/2010)

Oleh : Che Dewi Suhana bt. Che Zainal Abidin

Putrajaya, 16 Julai 2010 - Satu Majlis Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) MSWP Putrajaya telah diadakan di Dewan Persidangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya.
          
Majlis Pelancaran Amalan 5S telah dilaksanakan pada 8 Januari 2010 dan dirasmikan oleh Y.A.A Datuk Mohamad Bin Abdullah, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilaayh-Wilayah Persekutuan. Pada 14 April 2010, Auditan Amalan 5S telah dijalankan oleh Tuan Haji Abd. Rashid Bin Omar, Juruaudit dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan hasil daripada auditan yang dijalankan, Juruaudit MPC telah berpuas hati dengan persekitaran di MSWP.

Dengan itu, pada 16 Julai 2010, satu Majlis Penyampaian Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) yang telah disampaikan Tn. Haji Ahmad Fadzil Bin Mahmud, Timbalan Ketua Pengarah (I) MPC kepada Y.A Nassir Bin Abdul Aziz, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah MSWP Putrajaya bertempat di Bilik Persidangan MSWP Putrajaya.
Bersempena dengan Majlis tersebut juga, satu Pertandingan Zon Terbaik telah diadakan. Kategori Zon Terbaik untuk Peringkat Pertama/2010 di menangi oleh Zon Mawar (Tingkat 2) yang diketuai oleh Puan Noor Ikma Binti Rosli.







Lawatan Amalan 5s Ke Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya (12/3/2010)
Oleh: Syazana Syahida binti Muktar
                                                               
Putrajaya, 12 Mac 2010 – Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah mengadakan siri lawatan 5S kali pertama bagi tahun 2010 ke Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya. Lawatan tersebut diketuai oleh Y.A.A Datuk Haji Mohamad bin Haji Abdullah dan disertai oleh pegawai-pegawai Kanan Syariah seramai 30 orang pegawai termasuk kakitangan sokongan. Rombongan bertolak lebih kurang jam 8.30 pagi dengan menaiki kenderaan jabatan dan  tiba di Pintu Gerbang Utama di Jabatan Pendaftaran Negara pada jam 9.00 pagi.
                                          
Ketibaan kami disambut baik oleh dua orang pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara. Kemudian, kami dibawa ke Kamar Silang Terbilang di tingkat 13 untuk sesi taklimat awal daripada pegawai dari Jabatan tersebut. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Timbalan Ketua Pengarah JPN, Putrajaya (Bahagian Pengurusan) iaitu Tuan Wahab bin Mohd Yasin seterusnya disusuli dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh seorang pegawai kanan berkenaan pelaksanaan 5S di jabatan tersebut. Rombongan juga dimaklumkan dengan beberapa pencapaian terbaik yang telah Berjaya diperolehi sepanjang pelaksanaan program amalan 5S.
                                          
Antara cadangan yang telah diberikan oleh pegawai tersebut dalam usaha meningkatkan mutu pelaksanaan 5S ialah tentang pelaksanaan 5S yang terakhir iaitu “Sentiasa Amal”. Menurutnya, setiap jabatan perlu sentiasa memberikan komitmen yang baik dalam mengamalkan pelaksanaan 5S ini. Antara aktiviti yang dapat membantu adalah Jawatankuasa 5S perlu membuat audit berkala setiap bulan supaya setiap kakitangan sentiasa membuat penambahbaikan di zon mereka. Jabatan juga perlu sentiasa mendedahkan konsep 5S terhadap kakitangan, terutamanya kepada kakitangan baru. Di samping itu, jabatan tersebut boleh juga membuat pertandingan 5S bagi mendapat idea yang lebih kreatif dalam usaha menceriakan suasana kerja di pejabat. Untuk mencapai Pelaksanaan Sistem Star Rating, setiap jabatan perlu membuat persediaan sepenuhnya dari segi penyediaan dokumen dan pembentangan 5S.
                                          
Selepas sesi taklimat tersebut, kami telah dijamukan dengan hidangan minum pagi. Agenda kemuncak adalah lawatan rombongan ke beberapa bahagian di dalam Jabatan Pendaftaran Negara iaitu di Bahagian Pusat Pengurusan Rekod (BPR) Aras 5, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK), Aras 3 dan Bahagian Perkahwinan dan Perceraian (BKC) Aras 1. Setiap bahagian mempunyai kreativiti yang tersendiri. Kesungguhan dan komitmen yang ditonjolkan oleh kakitangan JPN telah memberi hasil yang amat menarik terhadap pelaksanaan program 5S mereka. Kreativiti yang ditunjukkan oleh kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara juga telah memberi banyak idea dan inspirasi untuk Mahkamah Syariah dalam meningkatkan prestasi 5S.
                                          
Harapan Mahkamah Syariah agar dengan adanya program-program lawatan yang telah dianjurkan dapat memberi satu semangat dan inspirasi baru kepada para kakitangan untuk lebih berjaya dalam melaksanakan dan meningkatkan mutu keberkesanan program ini di mahkamah. Sebelum bersurai pada jam 12:15 petang, Y.A.A Datuk Haji Mohamad Bin Haji Abdullah telah menandatangani buku pelawat sebagai penghargaan terhadap kunjungan kami.



Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Amalan Persekitaran Berkualiti 5S MSWP Labuan (4/3/2010)
Oleh : Fuadhasan Adisuryo bin Achmad Rofiie
Wilayah Persekutuan Labuan, 4 Mac 2010 - Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa  Pemandu Amalan Persekitaran Berkualiti 5S Mahkamah Syariah WP Labuan bertempat di Dewan Persidangan Mahkamah Syariah WP Labuan. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah - Wilayah Persekutuan iaitu Y.A.A Datuk Haji Mohamad bin Haji Abdullah.

Mesyuarat berlangsung pada pukul 9:00 pagi didahului ucapan alu - aluan oleh Y.A Tuan Ibrahim Bin Deris selaku Ketua Jabatan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Labuan.
Agenda mesyuarat tertumpu kepada pembentangan laporan daripada penyelaras & jawatankuasa - jawatankuasa utama (Promosi, Latihan, Audit) serta isu - isu berbangkit dalam perlaksanaan 5S di jabatan ini.

Disamping mesyuarat tersebut, turut diadakan ialah majlis ramah mesra antara warga MSWP Labuan bersama Y.A.A Datuk Haji Mohamad bin Haji Abdullah sejurus selesai mesyuarat. Majlis ini bertujuan mengeratkan lagi silaturrahim antara warga MSWP Labuan dengan Y.A.A Datuk disamping mendengar amanat daripada Y.A.A Ketua Hakim Syarie.
Majlis ditangguhkan pada pukul 12.00 Tengah hari.



Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Amalan 5S (15/1/2010)
Oleh: Md Hasrul Faiz bin Borhanudin 
Kuala Lumpur, 15 Januari 2010 – Seperti yang sedia maklum bahawa Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah berjaya mendapat pengiktirafan amalan 5S pada sesi audit yang telah dijalankan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada 21 Disember 2009 yang lalu.  
 
Bagi meraikan kejayaan itu,  Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah mengadakan satu majlis penyampaian sijil pengiktirafan amalan 5S yang di sambut dengan meriah oleh warga MSWP dan tetamu jemputan yang terdiri dari kalangan tetamu kehormat dan pegawai- pegawai dari beberapa jabatan.Antara yang hadir pada majlis ini adalah Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan kehakiman Syariah Malaysia(JKSM), Y.A.A Tan Sri Ibrahim Lembut, Tuan Mohd Razali Hussain; Ketua Pengarah MPC, Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syarie ; Y.A. Dato’ Haji Muhammad Asri Bin Haji Abdullah, Y.A Dato’ Haji Md. Yusup Bin Che Teh, Y.A Tuan Haji Hussin Bin Ahamad ,  Timbalan Ketua Pengarah(Syariah) Biro bantuan Guaman (BBG), Tuan Haji Saarani Bin Ismail dan wakil-wakil daripada MAIWP, JAWI dan PGSM turut sama memeriahkan majlis.   
Majlis dimulai dengan bacaan doa yang telah disempurnakan oleh En. Ismail bin Zakaria. SeterusnyaY.A.A Tn. Hj. Mohamad bin Abdullah memberikan ucapan pembukaan dan kata aluan kepada para tetamu jemputan dan warga MSWP. Ucapan kedua diikuti oleh Ketua Pengarah MPC, Tuan Mohd Razali Hussain. Dalam ucapan beliau, beliau mengucapkan tahniah dan syabas atas penganugerahan sijil 5S dan mengharapkan warga kerja MSWP dapat meneruskan kejayaan ini dalam tempoh akan datang.  Ucapan penutup disusuli oleh Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan kehakiman Syariah Malaysia(JKSM), Y.A.A Tan Sri Ibrahim Lembut. Selepas selesai ucapan beliau, majlis mempersilakan Ketua Pengarah MPC, Tuan Mohd Razali Hussain untuk menyerahkan Sijil Penganugerahan 5s secara rasmi kepada Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie Jabatan kehakiman Syariah Malaysia(JKSM), Y.A.A Tan Sri Ibrahim Lembut. 



MSWP juga memberi pengiktirafan kepada zon terbaik pelaksanaan 5S bagi tempoh penggal pertama. Dengan itu, MSWP telah menganugerahkan anugerah ini berupa piala pusingan kepada Zon Syahadah. Setelah selesai majlis, pihak urusetia menjemput semua tetamu untuk melawat Zon Syahadah sebagai contoh terbaik pelaksanaan 5S di MSWP.