Oleh: Syazana Syahida bt Muktar
Putrajaya, 14 April 2011 - Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah mengadakan lawatan 5S ke Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Wisma Sumber Asli, di Putrajaya. Lawatan ini telah disertai seramai 30 orang pegawai dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang diketuai oleh Yang Amat Arif Datuk Mohamad Bin Hj. Abdullah. Kami telah di dedahkan dengan tayangan montaj 5S dari segi perlaksanaan, pengauditan dan penyelarasan 5S di NRE.
Kami telah dibawa melawat ke Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat di kementerian tersebut. Pelaksanaan 5S mereka lebih menekankan kepada kebersihan dan kekemasan kerana ia dapat membentuk budaya kerja yang lebih baik dan teratur. Kami juga di bawa untuk melihat sistem pengurusan stor yang amat kreatif yang menggunakan sistem secara online. Sistem tersebut dikenali sebagai Sistem Peralihan Aset di mana sistem ini memudahkan proses susunan aset agar lebih teratur.
Harapan Ketua Hakim Syarie adalah agar kakitangan Mahkamah dapat mengaplikasikan sistem amalan 5S yang dilakukan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi membentuk kerja lebih baik dan teratur di mahkamah.